Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pemandu ambulans meraung mangsa kemalangan maut tengah hari tadi ternyata anak sendiri

Pemandu ambulans meraung mangsa kemalangan maut tengah hari tadi ternyata anak sendiri


Setiu: Seorang pemandu ambulans sebak apabila melihat anak sendiri terbaring kaku di atas jalan selepas terbabit dalam kemalangan di simpang kilang sawit di Kilometer KM 38 Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, petang semalam.


Mohd Taqwa Ismail, 49, yang bertugas sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Sungai Tong berkata, dia tidak menyangka mangsa kemalangan dalam kejadian itu adalah anaknya.


Dalam kejadian itu, Muhammad Aiman Mohd Taqwa, 21, kakitangan Unit Landskap Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori kira-kira jam 4.30 petang.


Taqwa berkata, dia mendapat panggilan meminta untuk mengambil mangsa kemalangan di lokasi kejadian dan kemudiannya dihantar ke Hospital Setiu.


"Namun apabila sampai di situ, saya macam kenal motosikal itu dan apabila tengok nombor plat motosikal baru sedar rupanya anak sendiri menjadi mangsa kemalangan.


"Sejak saya bertugas menjadi pemandu ambulans kira-kira 21 tahun lalu, ini pengalaman pertama terpaksa berdepan situasi membabitkan ahli keluarga sendiri.


"Jujurnya hanya Allah sahaja yang tahu perasaan sedih saya ketika itu walaupun sebelum ini pernah mengambil mangsa kemalangan lagi serius tapi tidak terlalu beremosi seperti ini," katanya ketika dihubungi hari ini.


Dia berkata, Aiman baru sahaja lima bulan bekerja di TTI dan kerap berulang-alik dari tempat kerja dan pulang ke rumah di Sungai Tong.


"Selalunya Aiman bawa bekal ke tempat kerja tetapi semalam dia berjanji mahu pulang untuk makan petang bersama saya di rumah.


"Kebetulan malam sebelum kejadian, saya sempat memasak ikan lampam goreng yang dibawa balik dari Tasik Kenyir dan dia sempat makan serta meminta lebihan ikan itu disimpan untuk dimakan keesokan harinya," katanya.


Katanya, Aiman anak kedua daripada lima beradik hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Zulnilawati Idris, 47, adalah anak yang pendiam tetapi sangat disenangi ramai kerana pandai menyesuaikan diri.


"Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Belara kira-kira jam 11.30 pagi tadi," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.


Katanya, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Tong di sini dari Kuala Nerus.


"Ketika tiba di lokasi kejadian, Muhammad Aiman yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi gagal.


"Lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Afandi berkata, pemandu lori berusia 30 tahun yang dalam perjalanan ke Hulu Terengganu dari Kok Lanas, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Post a Comment for "Pemandu ambulans meraung mangsa kemalangan maut tengah hari tadi ternyata anak sendiri"